Jelajah Ramadan ADUN Beting Maro, RM181,000 diagih

BETING MARO: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor memanfaatkan kemuliaan Ramadan untuk mendekati rakyat di kawasan sambil menyumbang melalui program jelajah Ramadan ADUN Beting Maro yang diadakan saban tahun.

Lebih RM181,000 diagihkan kepada jawatankuasa pengurusan masjid dan surau serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di samping rakyat marhaen yang memerlukan.

Katanya, pada tahun ini sebanyak RM181,000 di bawah peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) diagihkan kepada tujuh masjid dan 17 surau, selain 11 PIBG serta sumbangan kepada sekitar 1,200 golongan yang memerlukan.

“Alhamdulillah saya percaya dengan sedikit sumbangan ini mampu menjadikan sambutan Ramadan dan Syawal dengan lebih bermakna.

“Begitu juga saya amat bersyukur kerana diberikan kesempatan berziarah ke kampung-kampung untuk bersama warga Beting Maro,” katanya dalam salah satu program jelajah Ramadan ADUN Beting Maro ke kawasan dekat sini, malam semalam.

Jelasnya, masa yang diluangkan untuk majlis berbuka puasa, menunaikan solat fardhu Maghrib dan Isyak serta solat sunat Tarawih secara berjemaah, menyampaikan sumbangan seterusnya mengikuti program pengimarahan masjid/surau disifatkannya sebagai satu kegembiraan.

Pada saat Ramadan semakin ke penghujungnya, beliau dalam pada itu turut mengajak semua umat Islam menggandakan ibadah agar tidak terlepas ganjaran yang ada di dalamnya.

“Hayatilah sepenuhnya dan ambillah peluang di akhir-akhir Ramadan untuk kita bersama mendapatkan keberkatan… mengejar Lailatul Qadar.

“Maka, di sini amat penting peranan ahli jawatankuasa pengurusan masjid dan surau, ibu bapa, ketua masyarakat untuk memimpin seluruh umat Islam agar bersama memperhebatkan ibadah di akhir Ramadan ini,” ujarnya.

Terdahulu bersempena sambutan perayaan Gawai Dayak, beliau turut menyumbang lebih RM15,000 untuk diagihkan kepada rumah panjang dan gereja.