Penduduk rumah panjang Nanga Semah bakal nikmati air bersih

DARO: Lebih 1,000 isi rumah melibatkan tujuh rumah panjang di Nanga Semah akan menikmati bekalan air bersih tidak lama lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Safiee Ahmad berkata, pelaksanaan projek yang dijangka siap sepenuhnya pada akhir Oktober itu membuktikan komitmen kerajaan negeri membangunkan kemudahan asas luar bandar.
Katanya, projek itu sekali gus menyelesaikan masalah penduduk kawasan Nanga Semah sebelum ini hanya bergantung kepada air tadahan hujan dan sungai.
“Ini membuktikan kerajaan sentiasa mendengar keluhan rakyat khasnya keperluan asas luar bandar. Kita berharap projek yang bernilai RM6.8 juta ini dapat disiapkan mengikut jadual. Apabila siap nanti, kemudahan ini juga boleh dinikmati oleh sebuah klinik desa dan sekolah rendah Nanga Semah,” katanya pada majlis Ngiling Bidai di Rumah Panjang Nangsa Semah di sini.
Pada majlis sama, penduduk turut berpeluang mendengar taklimat mengenai perkembangan terkini projek oleh pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dan konsultan yang diketuai John Wong, dari Pejabat Wilayah Tengah, Sibu.
Sehubungan itu, beliau berkata, rakyat di kawasan luar bandar perlu memahami proses permohonan bekalan air yang diuruskan agensi kerajaan kerana kadangkala memakan masa lama.
Rakyat juga harus memahami bahawa agensi pelaksana juga perlu memohon peruntukan daripada kerajaan bagi melaksanakan projek demi keselesaan rakyat.
“Saya juga ingin memohon kerjasama penduduk setempat supaya berkerjasama bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar,” katanya.
Dalam pada itu, Safiee juga mahu semua jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) sentiasa bergerak aktif dalam melaksanakan aktiviti yang boleh memperkasakan solidariti dalam kalangan masyarakat.