Rang Undang-Undang Perlombongan Minyak bakal dibentang pada sidang DUN

KUCHING: Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-18 menyaksikan Rang Undang-Undang Perlombongan Minyak (Pindaan) 2018 akan dibentang pada persidangan itu mulai 9 hingga 18 Julai ini.
Bercakap pada sidang media, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nasar berkata, Rang Undang-Undang Perlombongan Minyak itu antara empat rang undang-undang yang akan dibentang nanti.
Tiga yang lain ialah Rang Undang-Undang Pembekalan Tambahan (2017) , Rang Undang-Undang Pembekalan Tambahan (2018) dan Rang Undang-Undang Kanun Tanah (Pindaan) 2018.
Pada persidangan kali ini, sebanyak 380 soalan diterima daripada 50 ahli Yang Berhormat.
Katanya, Jabatan Ketua Menteri menerima soalan paling banyak iaitu 68 soalan.
Sebelum itu, mesyuarat pra sidang Dewan Undangan Negeri berlangsung pada hari ini dipengerusikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Jalan Bako.
Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bakal merasmikan persidangan itu pada jam 9 pagi.