Sebarkan penerangan berterusan GPS kepada rakyat – Dr Rahman Junaidi

KUCHING: Kepemimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) peringkat akar umbi memberi penerangan kepada masyarakat mengenai kewujudan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Naib Presiden PBB, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, penerangan berterusan mengenai GPS perlu disebarkan kepada masyarakat bagi mengelak kekeliruan.

Menurutnya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg baru-baru ini menyatakan pendaftaran GPS sudah mendapat lampu hijau daripada Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Apa yang ditunggu sekarang adalah surat kelulusan sebelum perasmian GPS.

“Oleh itu, kita perlu memberi penerangan berterusan mengenai penubuhan GPS,” katanya
katanya ketika berucap pada Sidang Randau PBB 2018 Cawangan N.4 Pantai Damai di Kampung Santubong malam tadi.

Kampung Santubong menjadi lokasi ketiga penganjuran sidang tersebut selepas Kampung Panglima Seman Lama dan Kampung Jaya Bakti.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Elektrik) berkata, Sarawak kini tidak perlu bergantung kepada pihak lain untuk program pembangunan.

“Sebab itulah, kepemimpinan PBB membuat keputusan keluar Barisan Nasional (BN) kerana mahu negeri ini ditadbir anak tempatan.

“Sarawak akan lebih cepat membangun jika ditadbir anak tempatan,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai menyarankan kepemimpinan PBB peringkat akar umbi terus memperkasa parti keramat itu.

“Setiap ahli memainkan peranan penting untuk memantapkan parti bagi memastikan PBB kekal relevan untuk mentadbir Sarawak,” jelasnya.

Selain itu tambahnya, perpaduan di kalangan ahli parli juga perlu dipertahankan bagi mengelak pengaruh luar yang boleh memecahkan keharmonian masyarakat.

“PBB memainkan peranan menasihati masyarakat supaya tidak bertindak terburu-buru termasuk menyokong parti dari luar Sarawak,” kata Dr Abdul Rahman lagi.