Jom Berami Samo Kito pertemukan masyarakat kampung

PUSA: Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim memperuntukkan sebanyak RM112,000 untuk disumbangkan kepada semua masjid di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro bagi tujuan melaksanakan ibadah korban oleh Jawatankuasa Pengurusan (JKP) sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor dalam satu program ‘Jom Berami Samo Kito’ di Masjid Rahmaniah dekat sini, hari ini.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Rohani atas sumbangan sebanyak 14 ekor lembu.

Sumbangan itu dibahagikan kepada JKP Masjid Rahmaniah Pusa (3 ekor), JKP Masjid al-Amin Beladin (3 ekor), JKP Masjid Darul Ulum Kalok (2 ekor), JKP Masjid Baitulsalam Tambak (2 ekor), JKP Masjid Kampung Semarang (2 ekor), JKP Masjid Nasli al-Iman Batang Maro dan JKP Masjid Nurul Hidayah Spinang masing-masing seekor lembu.

Razaili pada majlis yang sama turut menyampaikan sumbangan pendidikan kepada 34 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusa yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti pada tahun ini.