Abang Johari lawat Brunei, hadiri mesyuarat dua hala

BANDAR SERI BEGAWAN: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Brunei, tengah hari ini mengadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman.

Dengan ditemani Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Datuk Amar Mohd. Morshidi Abdul Ghani dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datu Abu Bakar Marzuki, Ketua Menteri berbincang selama setengah jam dengan Sultan Hassanal Bolkiah yang juga Perdana Menteri Brunei.

Isteri Ketua Menteri, Datin Patinggi Dato Juma’ani Tun Tuanku Bujang yang ditemani isteri Datuk Amar Douglas, Datin Amar Doreen Mayang dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datu Sabariah Putit sementara itu mengadakan kunjungan berasingan terhadap Permaisuri Pengiran Anak Saleha di Istana yang sama.

Pada sebelah pagi, Abang Johari mengetuai rombongan dari Sarawak menghadiri mesyuarat dua hala dengan pihak berkuasa Brunei di sebuah hotel terkemuka di Jerudong.
Mesyuarat itu dipengerusikan Menteri Sumber Utama dan Pelancongan Brunei, Dato Seri Setia Awang Ali Apong.