Ekspedisi ke Kubu Panglima Rentap bakal terima 268 peserta

BETONG: Kubu Panglima Rentap bakal menerima kunjungan seramai 268 individu yang mengesahkan penyertaan untuk mengikuti ekspedisi ke kubu Panglima Rentap di Bukit Sadok pada 22 September (Sabtu) ini.

Residen Bahagian Betong yang juga pengerusi jawatankuasa induk ekspedisi, Friday Belik berkata, ekspedisi yang memasuki siri keenam penganjuran mendapat sambutan baik dari merata tempat bukan sahaja dalam negeri tetapi luar.

“Seramai 171 daripadanya merupakan penduduk di sekitar Bahagian Betong sendiri selaku kumpulan peserta paling ramai.

“Dari Kuching ada 41 orang dan selebihnya kita turut menerima penyertaan dari kawasan Sarikei, Sri Aman, Sibu, Kota Samarahan, Serian, Kapit dan Bintulu termasuk lima peserta dari Semenanjung Malaysia,” katanya ketika ditanya pemberita di sini, semalam.

Katanya daripada jumlah tersebut, 149 peserta adalah lelaki, manakala 119 peserta lagi merupakan wanita.

Friday menjelaskan, objektif utama penganjuran ekspedisi ialah untuk memberi pendedahan kepada peserta tempatan dan luar mengenai sejarah Panglima Rentap dan memperkenalkan Bukit Sadok sebagai sebuah destinasi pelancongan yang bersejarah serta kaya dengan keindahan flora dan fauna.

Selain itu ujarnya, sebagai program ‘community engagement’ bagi mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan, institusi pendidikan awam dan swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dengan masyarakat rumah panjang setempat.

Dalam pada itu menjadi medium memupuk semangat kerja berpasukan yang lebih erat dalam kalangan peserta selain menanam budaya gaya hidup sihat melalui aktiviti lasak dan mencabar.

Beliau turut menzahirkan perhargaan terhadap komitmen Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, ADUN Layar Gerald Rentap Jabu dan Ahli Parlimen Betong Robert Lawson Chuat atas sokongan penuh terutama dari aspek pembiayaan untuk melancarkan ekspedisi kali ini.

Ekspedisi ke kubu Panglima Rentap di Bukit Sadok siri keenam ini dianjurkan oleh Pejabat Residen Bahagian Betong dengan kerjasama Pejabat Daerah Betong, Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Betong, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Betong, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Layar Betong, Majlis Daerah Betong (MDB), Pejabat Kesihatan Bahagian Betong, Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Cawangan Layar dan Jabatan Muzium Sarawak.

Selain turut mendapat sokongan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rh Joseph Sanda Jambu Kerampak, Rh Kendawang Rantau Lelayang, Rh Gait Mujau Kerangas, Rh Remong Bergantung Skrang, Rh Brundie Batu Pesok, Rh Ambu Lempaong, Rh Siba Perdu dan Rh Richard Kadir Melabu Bair.

Douglas Uggah dijangka merasmikan ekspedisi pada tengah hari Sabtu ini di puncak Bukit Sadok.