Dua pemimpin berkongsi pengalaman bersama calon UPSR SK Adin

SARIKEI: Calon Ujian Prestasi Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Kebangsaan (SK) Adin teruja apabila dua pemimpin turun padang berkongsi pengalaman bersama mereka.
Sesi khas itu diadakan bersama Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh dan Ahli Parlimen P.206 Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab sejurus selesai majlis perasmian Dewan Penghulu Adin, hari ini.
Lebih istimewa apabila kedua-duanya berkongsi kisah suka duka hidup bermula daripada zaman persekolahan sehingga menjadi pemimpin.
Biarpun diadakan dalam suasana ringkas namun bagi murid SK Adin, perkongsian pengalaman pemimpin itu membakar semangat mereka untuk meraih kejayaan cemerlang dalam UPSR tidak lama lagi.
Malah, ia menjadi detik paling berharga yang mungkin tidak dapat mereka lupakan.
Terdahulu, Len yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Kuala Rajang mengumumkan penubuhan sebuah yayasan bagi menjaga kebajikan dan pendidikan lebih 2,000 penduduk kawasan Sare.
Pada masa sama, beliau turut menyumbang RM50,000 bagi memastikan kelancaran penubuhan tabung berkenaan.