Yayasan kebajikan, pendidikan penduduk Sare bakal ditubuh

SARIKEI: Sebuah yayasan bagi menjaga kebajikan dan pendidikan lebih 2,000 penduduk kawasan Sare di sini akan ditubuhkan tidak lama lagi.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh.

Sehubungan itu beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Kuala Rajang turut menyumbang RM50,000 bagi memastikan kelancaran penubuhan tabung berkenaan.

“Pemilihan nama Penghulu Adin Jampang untuk yayasan ini adalah untuk mengenang jasa mendiang. Semasa hayatnya, beliau adalah seorang pemimpin hebat yang bersungguh-sungguh membela nasib penduduk kawasan ini dalam pelbagai aspek.

“Hasil perjuangannya, beliau telah berjaya menubuhkan sebuah sekolah yang banyak mengubah nasib penduduk melalui pendidikan,” katanya.

Yang hadir sama Ahli Parlimen P.206 Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab Timbalan Residen, Abang Porkan Budiman, Pengerusi Majlis Daerah Sarikej, Wong Zee Yeng dan Penghulu Bidai Gisang.

Mengulas lanjut, Len berkata, kerja-kerja kebajikan yayasan berkenaan akan diperluaskan dengan matlamat untuk mengubah nasib kumpulan sasar terutama daripada keluarga miskin.

Pada masa yang sama katanya, yayasan itu dipengerusikan oleh beliau sendiri manakala Ahli Parlimen Tanjung Manis pula sebagai timbalan.

” Saya hanya meneruskan legasi perjuangan Penghulu Adin. Malah, saya mempunyai peruntukan untuk pendidikan, dalam satu tahun, saya membelanjakan kira-kira RM200,000 bagi tujuan ini.

” Yang paling saya minta penghulu dan ketua masyarakat memberikan kerjasama agar matlamat kita untuk membela nasib orang Iban Sare tercapai.

“Itulah harapan kita, mudah-mudahan setiap ringgit yang kita belanja manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat,” katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri akan meneruskan agenda pembangunan kerana Sarawak masih memerlukan infrastruktur dan kemudahan asas.

Negeri ini katanya, amat luas dan penempatan penduduk pula bertaburan di kawasan pedalaman.

“Justeru, kemudahan prasarana untuk rakyat akan terus ditingkatkan dari masa ke semasa,” jelasnya.