Kereta dipandu terbakar, pemandu selamat

BETONG: Seorang kakitangan Majlis Daerah Betong (MDB) mengalami kerugian apabila kenderaan yang dipandunya tiba-tiba terbakar ketika dalam perjalanan untuk menghadiri sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Bahagian Betong di Debak, pagi ini.

Menurut Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong yang juga Komanden Operasi, PBK I Henry Jugah, kejadian berlaku ketika mangsa melalui kawasan Jalan Suri-Debak.

Katanya, pihak bomba yang dimaklumkan tentang insiden itu bergegas ke lokasi dan ketika tiba, api sedang marak menelan sebuah kereta jenis Perodua Alza bewarna putih.

“Pasukan Alpha terdiri daripada enam anggota yang diketuai PBK II Sapuan Abu terus melakukan operasi memadam.

“Pihak kita mengambil masa 14 minit sahaja untuk memastikan api benar-benar padam,” katanya menambah kenderaan pelbagai guna (MPV) itu disahkan terbakar sepenuhnya.

Jelas Henry, pemilik kenderaan bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dan beliau mula melihat api keluar dari bahagian hadapan kereta.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan lanjut.