Projek RTP banyak bantu permasalahan kampung

BETONG: Projek-projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang dilaksanakan kerajaan negeri menerusi dana sendiri sebenarnya memberi impak yang cukup besar, bukannya sesuatu yang kecil, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohammad Razi Sitam.

Katanya lagi, ia berikutan projek RTP banyak membantu menyelesaikan isu dan permasalahan melibatkan infrastruktur asas secara berperingkat di kampung-kampung di negeri ini.

“Kalau kita lihat, keperluan infrastruktur asas seperti jalan kampung, sistem perparitan, dewan masyarakat, rumah ibadat dan kemudahan sukan dapat dilaksanakan dari masa ke masa.

“Oleh yang demikian RTP sebenarnya dianggap sebagai polisi Kerajaan Negeri yang berjaya membawa perubahan kepada banyak kawasan di luar bandar,” katanya.

Beliau bercakap demikian ketika ditanya pemberita selepas mengadakan lawatan ke projek menaiktaraf gelanggang futsal, jalan kampung, parit dan dewan di Kampung Balingan, Sebemban dan Tanjung Assam dekat sini.

Walaupun tidak dapat dilaksanakan secara serentak, menurut Razi ia bagaimanapun boleh disifatkan sebagai dana yang sangat efisien ke arah pembangunan luar bandar yang dirancang dari masa ke masa dengan mapan.

“Di sekeliling kita begitu jelas sumbangan daripada projek RTP tersebut.

“Malah, dengan adanya peruntukan tersebut juga ia banyak membantu membaik pulih premis-premis Kerajaan Persekutuan. Sebab itu saya kata, projek di bawah RTP amat besar manfaatnya.

“Kita banyak membantu premis Kerajaan Pusat seperti Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dalam proses baik pulih… kalau di sini melibatkan Tabika Kemas Kampung Balingan dan Tanjung Assam,” ujarnya.

Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan meneruskan polisi yang telah membawa banyak kebaikan kepada rakyat di negeri ini.

Ketika ditanya tentang status terkini projek-projek RTP bagi keseluruhan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas yang dilaksanakan setakat ini, beliau memaklumkan semuanya berjalan lancar.

Beliau dalam pada itu mengharapkan penduduk di kawasannya untuk memanfaatkan projek yang disalurkan oleh kerajaan untuk kebaikan bersama.