Kikis mentaliti berniaga ‘sekadar suka-suka’

DARO: Mentaliti berniaga sekadar suka-suka perlu dikikis daripada minda setiap usahawan Bumiputera jika mereka mahu menjadi usahawan berjaya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Safiee Ahmad berkata, usahawan tidak boleh mempunyai impian yang kecil atau menceburi bidang itu sekadar ‘saja-saja’ sebaliknya, mesti berfikiran lebih jauh dan optimistik untuk membina empayar peniagaan yang lebih besar.
Pada masa sama katanya, mereka juga harus mempunyai matlamat yang jelas supaya mampu membuka ruang rezeki dan membantu orang lain mendapatkan pendapatan.
“Untuk berjaya dalam bidang ini harus dengan kesungguhan, keyakinan di samping bersedia menghadapi cabaran serta rintangan. Justeru, tidak ada perkataan suka-suka atau saja-saja, ” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Amal Keusahawanan Daro 2018 di sini, semalam.
Beliau berkata, kegagalan segelintir usahawan dalam bidang tersebut berpunca daripada sikap suka mencari alasan dan akhirnya tidak nampak cara untuk memajukan diri namun sebaliknya, orang yang berjaya lebih banyak melalui pengalaman getir.
Malah katanya, mereka juga tidak pernah berputus asa untuk meneruskan perjalanan dan tidak mudah memberi alasan untuk berhenti.
“Cabaran dan dugaan adalah lumrah dalam berniaga. Adakalanya, kita hanya nampak kejayaan mereka sahaja tetapi untuk sampai ke peringkat itu bukan mudah. Sudah pasti mereka berdepan dengan pelbagai pengalaman dan rintangan.
“Apa yang menjadikan mereka kuat ialah tekad dan niat dengan pendirian tinggi sambil menanamkan tekad berniaga bukan kerana suka-suka atau tengok-tengok orang,” katanya.
Beliau juga berkata, usahawan harus peka kepada peredaran zaman dan perlu keluar daripada zon selesa serta berfikir di luar kotak dalam mencari penyelesaian kepada cabaran yang dihadapi dalam perniagaan.
Katanya, perkara itu akan membantu mereka untuk lebih kompetitif dan dapat bersaing dengan lebih baik.
“Dalam dunia tanpa sempadan hari ini kita harus mencari peluang. Satu lagi masalah, usahawan tidak melihat apa yang ada di depan mereka sebagai satu peluang. Ini yang banyak berlaku dalam kalangan usahawan Bumiputera.
“Oleh kerana itu, adalah penting bagi anda semua untuk terus mencipta idea, mencari kaedah dan inovasi terbaik dalam meneruskan peniagaan.
“Dalam dunia penuh persaingan hari ini, kita tidak dapat bergerak berseorangan. Jangan fikir rakan usahawan lain sebagai musuh tetapi anggapkan mereka sebagai pelengkap, sokongan, rakan perniagaan kepada kita.

“Saya juga mahu usahawan memanfaatkan peluang digital ekonomi dengan sebaik-baiknya bagu menembusi pasaran yang ebih luas termasuk seluruh dunia,” jelasnya.
Sementara itu, beliau juga mengingatkan usahawan Daro agar mengambil pelbagai peluang yang bakal disediakan oleh kerajaan di kawasan itu antaranya, pembinaan Medan Selera Daro yang bernilai RM4 juta dan kewujudan bandar baru Daro fasa dua tidak lama lagi.