Kursus pembuatan produk sejuk beku tarik minat belia di tiga kampung

SARATOK: Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri (MTACYS) dan Majlis Daerah Saratok (MDS) bekerjasama untuk melahirkan usahawan produk sejuk beku dari sekitar Daerah Saratok melalui penganjuran Kursus Pembuatan Produk Sejuk Beku (Karipap dan Sardin Roll) yang berlangsung di Tingkat Satu Bangunan Perpustakaan MDS.

Seramai 67 komuniti belia dari Kampung Kupang, Saratok dan Roban menyertai kursus tersebut yang memfokus kepada pembuatan karipap dan sardin roll sejuk beku menerusi bimbingan pegawai dari Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kalaka Saribas Betong Rogayah Agus.

Lebih menarik, peserta kursus turut didedahkan oleh Bahagian Pembangunan Komuniti MDS dengan strategi pemasaran dan aspek pembungkusan yang disifatkan sebagai ‘bonus’.

Menurut Ketua Bahagian Pembangunan Komuniti MDS Roziana Rosli, penganjuran kursus ini merupakan satu inisiatif memupuk dan mengembangkan minat komuniti belia dalam bidang keusahawanan terutama melibatkan pemprosesan makanan sejuk beku.

“Ia selaras dengan hasrat Setiausaha MDS Abdul Razak Awang Bini yang cukup prihatin dan aktif dalam usaha-usaha membangunkan komuniti setempat.

“Dalam pada itu juga, kita turut memberi pendedahan mengenai potensi makanan sejuk beku di pasaran pada masa kini dan mengharapkan ia dapat membantu golongan muda meningkatkan ekonomi untuk membangunkan diri, keluarga, masyarakat serta ekonomi negeri mahupun negara suatu hari kelak,” katanya.

Sementara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka Datuk Abdul Wahab Aziz ketika merasmikan kursus menyatakan sokongan penuh terhadap program pendidikan sepanjang hayat seperti ini terutamanya untuk membantu anak-anak muda meningkatkan ekonomi masing-masing.

Menurutnya, program ini boleh ditambah baik dengan membawa peserta ke tempat-tempat atau mana-mana usahawan produk sejuk beku yang telah berjaya agar dapat dijadikan rujukan serta panduan.

Beliau menunjukan ‘kesediaan’ membantu dari aspek pengangkutan dan penginapan kerana program pembangunan ekonomi seumpama ini diyakini amat bagus.

Beliau berharap semua peserta yang mengikuti kursus dapat mengaplikasi ilmu dan kemahiran yang diperoleh untuk mendapatkan pendapatan sampingan.

Hadir sama Timbalan Pengerusi MDS Kr Mohamad Duri, wakil Setiausaha Tetap MTACYS Paul Kawin Pipo dan Pegawai Menguasa Pejabat MTACYS Bahagian Betong Awang Mazelan Awang Majid.