Peruntukan RM780,000 disalur kepada pertubuhan, bantu mangsa kebakaran, prasarana kampung

BINTANGOR: Sebanyak RM780,000 disalurkan kepada pelbagai pertubuhan termasuk bagi membantu mangsa kebakaran dan menaik taraf kemudahan infrastruktur Kampung Melayu Bintangor.

Majlis penyampaian sumbangan itu disempurnakan oleh Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri ( Hal Ehwal Korporat), Abdullah Saidol pada majlis
perjumpaan dan sesi taklimat bersama ketua masyarakat Kampung Melayu Bintangor di sini, hari ini.

Program turut dihadiri Pegawai Daerah Meradong, Haron Mahidi wakil Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Meradong dan wakil Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.42 Semop berkata, sumbangan tersebut adalah daripada peruntukan geran projek kecil luar bandar ( MRP) dan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak RM210,000 akan digunakan untuk membantu membaiki kediaman mangsa kebakaran di Kampung Muhibbah baru- baru ini.

“Permohonannya dibuat oleh jawatankuasa surau yang berperanan sebagai pemegang amanah tragedi berkenaan. Beberapa bantuan lain juga disalurkan mengikut permohonan daripada pertubuhan tertentu yang dikemukakan oleh mereka sebelum ini,” katanya kepada media.

Dalam pada itu, empat badan masing-masing menerima RM10,000. Mereka ialah Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Bintangor, Saberkas Cawangan Meradong, Wanita PBB Meradong dan jawatankuasa penganjuran Pesta Limau 2018.

Kelab Anak Seni Meradong, Kelab Belia Meradong dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Amin masing-masing mendapat RM5,000.

Serentak itu, sebanyak RM15,000 turut disalurkan bagi membantu membina susur gajah ( tempat menunggu) di SK Abang Amin.

“Sebanyak RM500,000 akan dimanfaatkan untuk menaiktaraf jalan raya dan infrastruktur kampung Melayu Bintangor. Peruntukan disalurkan melalui RTP.

“Taklimat meliputi beberapa perkaraberkaitan perancangan projek RTP yang akan dilaksanakan di kawasan ini. Kita juga mengemukan beberapa perkara berbangkit berkaitan keadaan politik semasa dan perancangan Kerajaan Negeri,” jelasnya.

Beliau juga memberitahu, satu sesi perjumpaan bersama pemimpin masyarakat Iban dalam kawasan N.42 Semop juga akan diadakan tidak lama lagi.

Sesi dialog dan taklimat itu bertujuan memastikan pemimpin dalam kawasan beliau mendapat maklumat tepat tentang perancangan pembangunan projek jangka pendek dan panjang di kampung masing- masing.

“Saya juga menggesa pemimpin masyarakat bekerjasama dengan NGO memantau projek – projek ini supaya kontraktor yang terlibat menepati spesifikasi yang ditetapkan. Ini penting bagi hasil yang memuaskan dan penduduk mendapat memanfaatnya,” katanya.