Beting Maro Best platform pelengkap program transformasi DUN Beting Maro

BELADIN: Langkah membangunkan platform digital ‘Beting Maro Best (BMB)’ disifatkan sebagai pelengkap kepada program transformasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro ke arah pendigitalan ekonomi serta transformasi masyarakatnya.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor, ilmu digital dan internet sangat besar manfaatnya terutama dalam revolusi industri 4.0 hari ini.

“Sebab itu kita mengambil tindakan untuk mewujudkan platform digital BMB (www.betingmarobest.com) yang mana direka untuk semua produk terbaik dari kawasan ini agar dapat diketengahkan kepada pasaran domestik dan global.

“Platform terbuka usahawan ini juga berperanan menyediakan ruang untuk menggalak mereka memasarkan produk secara atas talian yang kelak akan membantu melahirkan ramai usahawan digital.

“Kita berusaha memperkenal konsep e-perniagaan kepada usahawan luar bandar yang masih menjalankan operasi secara konvensional,” katanya.

Beliau bercakap demikian ketika melancarkan program transformasi digital ekonomi bagi DUN Beting Maro melalui platform digital BMB yang berlangsung dekat sini, semalam.

Jelasnya, usaha ini disifatkan sebagai menyokong inisiatif Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam mentransformasikan ekonomi melalui kecanggihan teknologi terkini.

“Hasrat kita mahu menjadikan dunia digital sebagai medium membantu meningkatkan ekonomi lebih-lebih lagi kepada masyarakat di luar bandar,” ujarnya.

Bertemakan ‘bersama membina komuniti bestari, kampung lestari’, usaha ini diharap dapat membantu merealisasikan rancangan komuniti yakni bijak merancang masa depan dan berupaya mengadaptasi keupayaan diri selari dengan kemajuan teknologi terkini.

Selain itu mengambil kira prinsip pembangunan mampan yang mampu menyeimbang dan mengintegrasikan komponen sosial, sahsiah diri, ekonomi dan alam sekitar serta masyarakat.