Kepelbagaian etnik, agama tunjang kekuatan Sarawak – Taib

SARIKEI: Keamanan dan keharmonian merupakan aspek terpenting yang tidak pernah dipinggirkan dalam usaha kerajaan membangunkan Sarawak.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, kepelbagaian agama, etnik dan budaya akan terus menjadi platform yang menjadi kekuatan Sarawak sebagai sebuah negeri maju dan membangun.

Menurutnya, perpaduan erat yang sedia terbentuk dalam masyarakat pelbagai kaum negeri ini merupakan asas penting yang mampu menjamin pembangunan dan kesejahteraan berterusan.

“Tidak ada diskriminasi kaum mahu pun agama malah, Islam amat menitikberatkan soal perpaduan. Sehubungan itu, kerajaan pula sentiasa memastikan seluruh rakyat mendapat layanan adil dan sama rata.

“Kepelbagaian agama, budaya dan adat resam kaum di negeri ini perlu sentiasa dipelihara. Setiap individu berhak mengamalkan adat resam kaum masing-masing dengan harmoni,” katanya pada majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri di sini, hari ini.

Hadir sama isteri beliau, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib serta Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan isteri, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha.

Sehubungan itu beliau berkata, sikap saling menghormati dan memahami budaya juga perlu dipertahankan.

Amalan murni itu katanya, bukan sahaja menggambarkan persefahaman malah mampu mewujudkan suasana yang lebih harmoni dalam kalangan pelbagai kaum.

“Perpaduan merupakan aspek terpenting dan jikan tidak dijaga dengan baik, ia boleh mengugat keharmonian dalam masyarakat.

“Malah Islam sendiri mahu umatnya menjaga kesejahteraan dengan akhlak yang baik serta menolak segala bentuk permusuhan dan kebencian,” katanya.

Dalam pada itu, seramai 5, 276 orang peserta dengan sebanyak 129 kontinjen mengambil bahagian dalam perarakan di laluan sepanjang 3.3 kilometer bermula dari Kompleks Sukan Sarikei

Selain perarakan, sambutan turut diserikan dengan pelbagai acara lain termasuklah ceramah maulidur Rasul, sayembara sajak cinta Rasul, zikir maulud berkumpulan selama empat malam, pertandingan zikir marhaban dan lain -lain lagi.

Turut diadakan katanya, kembara Rasul perkhidmatan aktiviti klinik, saringan kesihatan, ziarah prihatin dan gotong royong di masjid.