Manfaatkan aplikasi ‘whatsapp’ kongsi ilmu – Razaili

BELADIN: Guna aplikasi ‘WhatsApp’ sebagai platform perkongsian ilmu agama untuk terus mengembangkan syiar Islam dan menyebar luas ilmu Allah S.W.T, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor.

Bercakap ketika merasmikan sambutan Maulidur Rasul 1440H bertemakan ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’ peringkat Kampung Beladin dekat sini, pagi tadi, beliau memberitahu umat Islam harus memanfaatkan aplikasi yang diguna pakai oleh sebahagian besar manusia seluruh dunia itu sehingga menjadikan dunia semakin kecil.

“Apabila kita berkongsi sesuatu yang bermanfaat, ini bermaksud kita telah menyampaikan ilmu Allah S.W.T kepada saudara yang lain walaupun hanya melalui aplikasi WhatsApp yang cukup mudah dibaca,” katanya.

Razaili dalam pada itu mengingatkan umat Islam agar tidak bertelagah sesama sendiri, menyampaikan sesuatu yang tidak betul malah pelbagai lagi melalui aplikasi WhatsApp.

“Yakinilah, apabila kita menggunakannya untuk jalan agama dan menjauhkan daripada keburukan, insha-Allah kita akan selamat,” ujarnya.

Bersempena sambutan kali ini juga, kontinjen Masjid al-Amin dinobatkan sebagai johan perarakan dan pertandingan sepanduk, manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beladin berada pada kedudukan naib johan dan Masjid Sinar Islam menyandang tempat ketiga.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan (JKP) Masjid al-Amin Zakaria Mos, Ketua-ketua Masyarakat dan Kaum, ahli JKP masjid dan surau serta kira-kira 300 penduduk sekitar kampung.