Pemimpin berwibawa GPS mampu terajui Sarawak – Razi

BETONG: Pemimpin berwibawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) diyakini mampu meneraju pembangunan negeri Sarawak tanpa ada gabungan parti luar.

Keyakinan itu disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohammad Razi Sitam ketika dihubungi berhubung kelulusan pendaftaran parti itu, semalam.

Katanya, Bumi Kenyalang tidak ketandusan pemimpin yang berkaliber dan berwibawa untuk menjadi pengemudi pembangunan.

“Kelulusan pendaftaran GPS pada masa ini amat tepat dengan kehendak rakyat yang mahukan Sarawak dipimpin serta ditadbir sepenuhnya oleh parti tempatan tanpa ada gabungan parti luar,” ujarnya.

Jelasnya, pengesahan Menteri Dalam Negeri,Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang kelulusan pendaftaran GPS ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kapit yang juga Setiausaha Agung Parti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Alexander Nanta Linggi, semalam disifatkan satu pencapaian besar.

Justeru tambahnya, anak-anak Sarawak harus menyokong dan mendokong GPS dalam membawa pembangunan dalam era baharu politik Malaysia kini.

“Dengan lulusnya pendaftaran GPS, sedarilah Sarawak bebas untuk bekerjasama dengan mana-mana parti luar tanpa bergabung sebagai satu entiti demi pembangunan.

“Malah, kita akan mempunyai ruang lebih luas dan berdikari dalam menuntut serta menjaga hak-hak Sarawak sebagai sebuah wilayah yang bersama dengan Semenanjung Malaysia dan Sabah membentuk negara bergelar Malaysia,” jelasnya.