Lapan ketua kaum dilanjut perkhidmatan

SARIKEI: Seramai lapan ketua kaum di kawasan N.41 Kuala Rajang dilanjutkan tempoh perkhidmatan masing-masing.

Mereka ialah Bidin Bong, Suhaili Sulhi, Awangku Anuar Pengiran Sulaiman, Alek Uday, Sihon Ujang, Mohd Bohari Mohd Jemat, Tuai Rumah Lampun David Kuning dan Tuai Rumah Meringai Na’on.

Majlis penyerahan sijil disempurnakan oleh Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh.

Hadir sama Residen Sarikei, Mohamad Junaidi Mohidin dan Pegawai Daerah Sarikei, Christopher Ranggau.

Sehubungan itu, Len yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Kuala Rajang mengingatkan peranan penting ketua kaum kerana mereka dapat membantu kerajaan meneruskan agenda pembangunan untuk rakyat.

Katanya, pemimpin masyarakat merupakan medium penghubung antara rakyat dan kerajaan.

“Kelebihan ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka supaya usaha pembangunan dapat dilaksana dengan lancar. Pada masa sama, mereka juga perlu kerap turun padang,” tegasnya.