Usah politikkan isu pendidikan – Abdullah Saidol

BINTANGOR : Permohonan peruntukan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) setiap sekolah di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.42 Semop tidak pernah diabaikan.

Menteri Muda Di Pejabat Ketua Menteri ( Hal Ehwal Korporat), Abdullah Saidol berkata, saluran peruntukan itu amat penting bagi memastikan aktiviti luar kelas dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Malah katanya, keaktifan PIBG menjalankan aktiviti juga mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menarik.

“Isu pendidikan tidak seharusnya dipolitikkan kerana melibatkan nasib masa depan generasi muda. Kita harus mengutamakan aspek yang lebih penting terutama membentuk akhlak dan pemikiran anak bangsa ini supaya mereka menjadi generasi cemerlang pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Hadiah dan Majlis Perpisahan Murid Tahun Enam Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Ming Shing di sini, hari ini.

Sebagai wakil rakyat mewakili kawasan pedalaman, Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.42 Semop berkata, hasrat membela rakyat bukan semata-mata membangunkan infrastruktur asas tetapi juga ingin melihat ramai anak desa dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi dan mempunyai kerjaya yang terjamin.

Sehubungan itu katanya, tumpuan terus diberikan untuk PIBG sekolah di luar bandar kerana entiti tersebut memainkan peranan penting sebagai saluran untuk memohon dana daripada pelbagai pihak termasuk wakil rakyat bagi menampung aktiviti sekolah.

“Sudah pasti, saya sentiasa memberi perhatian kepada permohonan bantuan dana daripada pihak PIBG kerana usaha membangunkan modal insan dan kemanusiaan tidak sepatutnya dipandang ringan.

“Kerana itulah, saya sentiasa memberi peruntukan yang sewajarnya kepada setiap permohonan daripada 21 buah sekolah dalam kawasan saya. Setiap peruntukan yang disalurkan itu juga dimanfaatkan untuk kegunaan lain termasuk membeli alat bantuan mengajar seperti komputer dan projektor,” katanya.

Pada majlis yang sama, Abdullah turut menyampaikan sumbangan RM3,000 kepada PIBG SJKC Ming Shing dan RM35,000 untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Sian bagi membaiki jalan sepanjang dua kilometer.