Chong harus henti burukkan negeri Sarawak – Fazzrudin

KUCHING: Kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen berhubung penglibatan kerajaan negeri dalam pembinaan sebuah hospital pakar di Kuala Lumpur 
membuktikan beliau tidak mahu melihat kerajaan Sarawak atau negeri Sarawak dapat menjana pendapatan tambahan untuk Negeri.
Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda PBB, Fazzrudin Abdul Rahman berkata dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu, Menteri Kewangan Kedua Sarawak telah menjelaskan tentang pelaburan tersebut dan dibuat setelah melihat kepada keuntungan yang bakal diperolehi oleh kerajaan.

”Kenyataan beliau bahawa rakyat Sarawak ‘was kept in the dark’ dan tidak akan tahu jika tiada perubahan kuasa di Pusat juga menunjukkan niat beliau untuk memburukkan kerajaan negeri. Kalau beliau ambil tahu sedikit perkembangan Negeri Sarawak, beliau akan sedar bahawa pengumuman dan berita berkenaan pelaburan ini dilaporkan secara meluas pada 28 November 2017 dalam Star Online dan ini adalah enam bulan sebelum PRU14.

“Berpandukan fakta di atas saya yakin kerajaan negeri tidak pun cuba untuk menyembunyi apa-apapun,” katanya dalam kenyataan media.

Fazzrudin yang juga ADUN Tupong berkata, portal tersebut juga melaporkan bahawa Zecon telah memperolehi konsesi 30 tahun bagi hospital pakar kanak-kanak tersebut dan kerajaan Sarawak telah melabur dalam perkara tersebut.

“Saya menyarankan agar Chong berhenti memburuk-burukkan Sarawak dan fokus kepada kementerian beliau dan memastikan harga barang-barang dikawal untuk dimanfaati rakyat.

“Amalan pelaburan seperti ini juga diamalkan oleh kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR dan negeri PP pimpinan DAP. Contoh nya syarikat milik Wordwide Holding milik kerajaan negeri Selangor diketahui umum melabur sebanyak RM 340 juta untuk membina 20 buah rumah mewah di Subang dan ratusan juta utk projek hartanah di Perth dan Sydney.

“Saya mencabar Chong untuk menyoal tindakan Lim Guan Eng selaku Menteri kewangan yang meneruskan dasar-dasar pelaburan kerajaan dalam syarikat-syarikat swasta dan juga untuk membantah tindakan pelaburan oleh rakan-rakan PH di Selangor dan Penang atas prinsip yang sama sebelum cuba menyebar fitnah ke atas kerajaan negeri Sarawak,” katanya.