Larian perpaduan dapat sambutan luar biasa

SARIKEI : Seramai 1,107 peserta mengambil bahagian dalam acara larian perpaduan sempena sambutan Pesta Nanas 2018, di sini, pagi tadi.

Larian sejauh lima kilometer itu juga berjaya menarik penyertaan peserta pelbagai peringkat usia termasuk warga emas.

Upacara pelepasan peserta disempurnakan Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh.

Selain memeriahkan pesta, program juga bermatlamat mengalak penyertaan masyarakat dalam aktiviti yang lebih sihat melalui sukan di samping memupuk semangat kerjasama dalam kalangan peserta.

Pada masa yang sama penganjuran program juga memupuk semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan peserta. Acara ini terbuka untuk semua kaum.

Penyertaan penduduk tempatan juga bertambah dan sambutan baik itu menjadi petanda positif peningkatan kesedaran dan sokongan mereka terhadap program seumpama itu.

Dalam amanat ringkasnya, Len yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Kuala Rajang berkata, program itu dapat menanam amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

“Sehubungan itu saya berharap, program ini terus diadakan setiap tahun dengan memperkenalkan laluan atau cabaran baharu kepada peserta.

Hadir sama, ADUN Meradong, Datuk Ding Koung Hiing, ADUN Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii dan Residen Sarikei, Mohd Junaidi Mohidin.