Jom gunting rambut percuma

DARO: Kira-kira 150 orang pelajar sekolah menengah dan rendah di daerah ini akan mendapat khidmat gunting rambut percuma sebelum kembali ke sekolah, di Dataran Sungai Daro pada 30 Disember ini.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Daro, Mohd Faizal Jamiludin berkata, program pertama bertujuan meringankan beban ibu bapa membuat persiapan menjelang musim persekolahan 2019.

Aktiviti itu katanya, menggunakan khidmat sukarela seramai lima orang tukang gunting profesional dari dari Unit Saberkas Kampung Tebaang.

“Penganjurannya di tebingan sungai Daro bertujuan memudahkan ibu bapa membawa anak-anak mereka menyertai program ini.

“Tambahan pula kawasan ini memang menjadi tumpuan orang ramai bersiar-siar bersama keluarga masing-masing terutama pada musim cuti dan hujung minggu,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Mohd Faizal berkata, program juga salah satu pendekatan untuk merapatkan lagi hubungan dengan masyarakat.

Sehubungan itu, majlis perasmian program dijangka akan disumpurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Safiee Ahmad yang juga Setiausaha Agung Saberkas Negeri dan Pengerusi Saberkas Daro.