Dayang Baleh lambang kesetiaan sejati pada parti

KUCHING: Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh merakamkan ucapan takziah atas pemergian ke rahmatullah xbekas tokoh politik veteran, Dayang Baleh Dayang Baleh Pengiran Hashim, 93.

Menerusi aplikasi WhatsApp, Len yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Kuala Rajang berkata sumbangan Allahyarhamah kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan terus dikenang.

“Salam takziah kepada keluarga arwah yang telah kembali ke rahmatullah semalam. Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah SWT. Al-Fatihah,” katanya.

Allahyarhamah bergiat aktif dalam politik terutama di kawasan Kuala Rajang sekitar tahun 1960 hingga 1990 an.

Malah beliau merupakan individu penting yang banyak menyumbang jasa dalam sayap wanita sehingga tertubuhnya PBB.

“Arwah yang berasal dari kampung Rajang merupakan pejuang sejati yang berpegang teguh dengan prinsip parti sehingga ke akhir hayat. Dia seorang yang sangat setia pada parti dan teguh pendiriannya.

“Prinsip inilah harus dicontohi oleh anak-anak muda terutama sekali ahli PBB yang menempuh pelbagai cabaran dalam iklim politik masa kini, ” ujarnya.