Dua maut, kenderaan hilang kawalan rempuh pokok

BINTULU: Sekurang-kurangnya dua maut dan seorang kanak-kanak cedera selepas kenderaan dinaiki merempuh sebatang pokok di Jalan Tanjung Kidurong, Bintulu hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii berkata, dalam kejadian 10.20 pagi, mangsa Maliena Tubun, 26 tahun dan Tropimus Tamason Tubun meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kanak-kanak Syahfiqee Meliana, 6 tahun cuma cedera ringan dan berjaya keluar dalam kenderaan itu,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Tiong berkata, kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan sebelum sebatang pokok menyebabkan pemandu dan penumpang hadapan mengalami kecederaan parah.

“Kedua-dua mangsa dipercayai adik beradik itu meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu mengesahkan kejadian berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.