Program Sukaneka Rakyat Kampung Selalang gamit 500 pengunjung, medium perpaduan rakyat

SARIKEI : Lebih 500 penduduk memeriahkan program Sukaneka Rakyat anjuran Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Selalang di sini hari ini.

Program yang bermula pada jam 7 pagi itu diserikan dengan pelbagai acara menarik antaranya pertandingan mewarna, futsal, memasak, gubahan barangan terpakai dan cabutan tiket bertuah.

Majlis perasmian program disempurnakan Pegawai Tadbir Khas kepada Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Mazlan Mohamad Salleh.

Sehubungan itu pengerusi penganjurnya, Dayang Zaitun Abang Bujai berkata, program merupakan platform terbaik kepada penduduk bagi mengeratkan hubungan sesama mereka.

Program santai itu katanya, dipenuhi dengan pelbagai aktiviti riadah dan sukaneka kepada semua peserta yang terdiri daripada setiap peringkat umur khususnya golongan muda.

“Kita gembira program ini berjalan lancar mengikut perancangan. Malah, kita berkumpul dengan melibatkan penyertaan seluruh penduduk kampung.

“Sehubungan itu, saya mewakili seluruh jawatankuasa penganjur mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh yang memberi sokongan penuh dengan menaja program ini,” katanya yang juga Ketua Kampung Bunga Tanjung.

Hadir sama Pengerusi Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Selalang, Affandi Dollah, Ketua Kampung Hilir Selalang, Alek Udey dan Imam I, Ustaz Daud Une.