SAR cari Fatihah diperhebat, kali terakhir dilihat di jeti Kabong

KABONG : Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak -kanak kelainan upaya yang dilaporkan hilang sejak semalam diperhebatkan hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Saratok, Nazry Mohamat berkata, keanggotaan ditambah kepada 52 orang dengan menggunakan 11 bot.

Malah katanya, pihaknya turut membuat pencarian di daratan.

“Operasi yang ditangguhkan semalam diteruskan pada jam 8.00 pagi tadi. Bagaimana pun sehingga kini kita tidak menemui sebarang petanda positif.

“Apa pun perkembangannya akan dimaklumkan dari masa ke semasa.Operasi ini turut dibantu Anggota Pertahanan Awam, Polis, Rela, PIBG SK Abg Leman Kabong, Community Emergency Response Team (CERT) Kabong dan penduduk setempat,” katanya kepada media.

Mangsa Nur Shahadah Fatihah Iman, 10, dari Kampung Hilir Laut kali terakhir dilihat di atas jeti konkrit berhampiran pekan Kabong sebelum dilaporkan hilang kira- kira jam 6.00 petang Ahad lalu.

“Berdasarkan maklumat awal, pada waktu kejadian kanak-kanak ini memakai baju berwarna merah,” kata tambah Nazry.