Di mana Fatihah? Radius pencarian diperluas

KABONG : Kawasan Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak (OKU) yang hilang di jeti Kabong diperluaskan hari ini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Saratok, Nazry Mohamat berkata, operasi yang bermula pada jam 7.15 pagi itu meliputi radius enam kilometer.

Malah katanya, jumlah keanggotaan turut ditambah kepada 67 orang dengan menggunakan 15 buah bot.

“Operasi yang ditangguhkan semalam diteruskan hari ini. Mudah-mudahan segalanya berjalan lancar,” ujarnya.

Difahamkan penduduk turut mengadakan sembahyang hajat dan bacaan doa sejak mangsa dilaporkan hilang.

Mangsa Nur Shahadah Fatihah Iman, 10, dari Kampung Hilir Laut kali terakhir dilihat di atas jeti konkrit berhampiran pekan Kabong sebelum dilaporkan hilang kira- kira jam 6 petang Ahad lalu.

Berdasarkan maklumat awal, pada waktu kejadian kanak-kanak ini memakai baju berwarna merah.

Sejak itu, SAR diaktifkan dengan bantuan pelbagai agensi dan penduduk kampung.