Beting Maro perlu anak benih nanas varieti MD2

BELADIN: Beting Maro memerlukan bantuan kerajaan untuk membawa masuk lebih banyak anak benih nanas varieti MD2.

Selain itu, teknologi terkini mengembangkan pengeluaran produk gula apong yang mana kedua-duanya dijangka menjadi aset penting bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor memberitahu, ia bagi menampung keperluan dalam menjadikan DUN ini sebagai bakul makanan untuk kawasan serantau pada suatu hari kelak.

“Kita mengharapkan usaha ke arah pemodenan pertanian bagi menambah hasil pertanian terutamanya melibatkan agro-makanan,” katanya pada perasmian Festival Makanan Beting Maro Siri Ketiga dekat sini, hari ini.

Jelasnya, menjelang akhir 2020 kawasan ini dapat melipatgandakan hasil pengeluaran nanas MD2 seterusnya menjadi pengeluar terbesar di negeri ini.

“Kita mula beberapa tahun lalu di Pusa dan untuk kawasan baharu, kita buka sebelah hilir (50 ekar) dan hulu (120 ekar) Kampung Beladin. Kedua-duanya sedia untuk ditanam namun anak benih tidak mencukupi.

“Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kalaka Saribas Betong banyak membantu membawa masuk anak benih nanas varieti MD2.

“Sehingga kini 180,000 anak benih sudah ditanam… 168,000 lagi sedang dibawa masuk, manakala 100,000 lagi belum sampai dan Koperasi Serbaguna Anak Selangor (Kosas) Berhad dalam proses menghantar 25,000 anak benih nanas varieti MD2,” ujarnya.

Sementara bagi produk gula apong katanya, Beting Maro merupakan pengeluar terbesar di Malaysia dan paling berkualiti tinggi.

“Menurut fakta, hampir 80 peratus kandungan merupakan komponen gula baik yang bersifat ‘friendly diebetis’ serta mengandungi anti oksidan yang tinggi… kemasukan teknologi amat penting dalam meningkatkan pengeluaran dan kualiti bagi menambah pendapatan ‘penuak’.

“Begitu juga tanaman kelapa yang giat diusahakan dengan tanah seluas 120 ekar di Kampung Semarang, 100 ekar di Kampung Spinang serta cadangan memperbesarkan kawasan tebing Kampung Batang Maro untuk tujuan yang sama,” katanya menambah antara lain produk madu kelulut yang tidak kurang hebatnya.

Festival Makanan Beting Maro dirasmikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah melalui kementeriannya, menyediakan peruntukan RM1 juta untuk diberikan sebagai subsidi kepada petani di Beting Maro. Manakala RM30,000 disumbangkan kepada jawatankuasa pengelola Festival Makanan Beting Maro

Antara lain, beliau yang bertanggungjawab terhadap Unit Hal Ehwal Agama Lain (Unifor) turut meluluskan peruntukan RM900,000 untuk pembinaan tiga buah gereja iaitu Gereja Muton (RM500,000) dan RM200,000 masing-masing kepada Gereja Blok dan Muton Asal.