JKKK disaran tubuh ERT

DEBAK: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) digesa menubuhkan pasukan kecemasan bertindak (ERT) melalui peranan jawatankuasa tersebut.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, langkah itu penting untuk membentuk ERT bagi memberi tumpuan terhadap aspek keselamatan.

“Penting agar JKKK tahu bagaimana untuk mengerah jawatankuasanya apabila berlaku sesuatu sebelum pasukan berwajib tiba. Usaha itu boleh mengurangkan kesan bencana,” katanya.
Beliau juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban bercakap demikian ketika merasmikan program Bomba Komuniti Peringkat DUN Bukit Saban di Rh. Ambu Liben Suri Tengah.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) meminta masyarakat mengubah persepsi agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan aspek kesiapsiagaan untuk berdepan sebarang perkara tidak diingini.

Uggah turut menyampaikan dokumen bantuan sebuah trak pick-up kepada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Spaoh.

Dalam masa yang sama simbolik penyampaian 130 alat pemadam api mudah alih kepada wakil 19 rumah panjang di kawasan DUN Bukit Saban.

Program Bomba Komuniti kali ini disertai 110 wakil daripada 19 rumah panjang di kawasan DUN Bukit Saban yang berlangsung selama dua hari.