150 pelajar bergaya dengan rambut baru

DARO: Seramai 150 orang pelajar sekolah menengah dan rendah di daerah ini menyertai program gunting rambut percuma sebelum kembali ke sekolah, di Dataran Sungai Daro, hari ini.

Majlis perasmian program disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Safiee Ahmad yang juga Setiausaha Agung Saberkas Negeri dan Pengerusi Saberkas Daro.

Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Daro, Mohd Faizal Jamiludin berkata, program pertama bertujuan meringankan beban ibu bapa membuat persiapan menjelang musim persekolahan 2019.

Aktiviti itu katanya, menggunakan khidmat sukarela seramai lima orang tukang gunting profesional dari dari Unit Saberkas Kampung Tebaang.

“Penganjur gembira dapat membantu pelajar- pelajar ini bergaya dengan rambut baharu sebelum masuk ke sekolah tidak lama lagi.

“Kita juga amat menghargai sokongan padu ADUN Daro terhadap program ini. Alhamdulilah penganjurannya mendapat sambutan amat positif daripada masyarakat setempat terutama ibu bapa ,” katanya kepada media.

Mohd Faizal berkata, program juga salah satu pendekatan untuk merapatkan lagi hubungan dengan masyarakat.