Tanjung Manis kini ada stesen minyak

TANJUNG MANIS: Selepas sekian lama menunggu untuk menikmati kemudahan stesen minyak, penduduk kawasan ini akhirnya berpeluang mendapatkan bekalan petrol dan diesel dengan lebih mudah melalui pembukaan stesen minyak Smart yang pertama di Tanjung Manis, semalam.
Pengarah Urusan Tanjung Manis Fuel dan Gas Station Sdn Bhd (TMFuel), Azimah Len Talif berkata, stesen itu menyediakan bekalan bahan api pada harga, kuantiti dan kualiti yang sama seperti dinikmati oleh masyarakat di bandar.
Malah katanya, Smart mampu meringankan beban penduduk setempat yang sebelum ini terpaksa mendapatkan bekalan petrol dan diesel yang hanya terdapat di Sibu iaitu terletak kira-kira 90 kilometer dari Tanjung Manis.
“Stesen Smart bukan hanya menguntungkan pihak TMFuel malah seluruh penduduk daerah Tanjung Manis dan seluruh kawasan lembah Rajang.
“Dengan pembukaan stesen minyak ini, warga tempatan tidak lagi perlu pergi jauh untuk memenuhi keperluan mereka, sekaligus menjimatkan masa, kos dan tenaga,” katanya kepada media.
Majlis perasmian disempurnakan Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh. 
Hadir sama Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab dan Pengarah Urusan Smart Stream Resources Sdn Bhd,Mohd Khairuddin Simon.
Azimah berkata, petrol dan diesel yang disediakan di stesen itu mengikut harga kawalan kerajaan sekaligus menjimatkan perbelanjaan minyak penduduk di pedalaman.
Malah katanya, matlamat pembinaannya untuk membantu masyarakat luar bandar agar menikmati bekalan bahan api pada harga, kuantiti dan kualiti yang sama dengan di bandar,
“Stesen minyak mini Smart yang sudah dilaksanakan di Semenanjung, terbukti berjaya memenuhi hasrat kerajaan dalam menyediakan kemudahan untuk kesejahteraan rakyat di luar bandar.
“Kemudahan ini bukan hanya akan dinikmati oleh penduduk Tanjung Manis tetapi juga mereka dari kawasan pesisir termasuk Pulau Bruit,” katanya.
Sementara itu, Khairuddin berkata, syarikat itu komited untuk membantu masyarakat luar bandar mendapatkan bahan petroleum melalui perancangan pembinaan lebih banyak stesen minyak Smart di Sarawak.