KM terima kunjungan pelabur Korea

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini menerima kunjungan delegasi Dongjin Semichem dari Korea Selatan di pejabatnya di Bangunan DUN di sini.

Delegasi dari Korea Selatan itu terdiri daripada pegawai kanan syarikat berkenaan yang diketuai oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya,Boo-Sup Lee.

Syarikat Dongjin Semichem yang telah melabur di Sarawak merupakan sebuah syarikat terkenal dengan pengeluaran bahan semi konduktor iaitu bahan yang digunakan bagi sumber tenaga alternatif dan ejen pembuihan.

Terdahulu, Ketua Menteri menerima kunjungan serupa daripada pegawai utama OCIM Snd. Bhd. iaitu sebuah syarikat Korea yang mengusahakan loji polisilikon di Zon Perindustrian Samalaju, Bintulu.

Dalam kunjungan yang diketuai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnyanya, Hu Kwan, Ketua Menteri mendengar taklimat mengenai pelaburan semasa OCIM di Sarawak dan perancangan pelaburan baharu syarikat terbabit.

Loji pengeluaran syarikat itu di Bintulu mengeluar 14,000 metrik tan polisilikon setahun dan menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 700 penduduk Sarawak.