PRN: MT Wanita PBB fokus aktiviti, giat tambah keahlian baharu

KUCHING: Majlis Tertinggi (MT) Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sudah merangka dan memfokus aktiviti penting termasuk menambah keahlian pergerakan itu di peringkat cawangan dan ranting.
Ketuanya, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, langkah itu sebagai persediaan penting untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Katanya, persediaan awal itu amat penting kerana senario politik sekarang sudah berbeza.
“Kita sedang berhadapan dengan Pakatan Harapan yang telah secara terang-terangan menyatakan hasrat mereka untuk menawan Sarawak pada PRN akan datang, seterusnya memerintah negeri ini,” katanya pada sidang media selepas mengadakan Mesyuarat MT Pergerakan Wanita PBB di Ibu Pejabat Parti PBB, Jalan Bako, hari ini.
Fatimah yang juga Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak berkata, pergerakan itu giat untuk menambah keahlian ahli PBB sekali gus memastikan mereka memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada GPS.
Beliau berkata, semangat perjuangan Sarawak mesti diteruskan oleh ahli-ahli baharu ini untuk mengukuhkan perpaduan dalam membangunkan negeri ini.
Oleh itu, beliau menasihat ahli agar tidak mudah tunduk dan terpengaruh dengan janji manis Pakatan Harapan yang ibarat manis dipangkal, tawar dipucuk.
Katanya, pergerakan itu juga akan berganding bahu dengan Badan Induk, Pemuda dan komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengadakan jerayawara GPS mengikut zon ditetapkan.