PH beri alasan kewangan tidak mengizinkan untuk laksana projek rakyat -Rohani

PUSA: Tiada alasan untuk rakyat memilih parti luar sedangkan di negeri ini sudah ada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan jelas ditadbir anak tempatan yang memberikan keutamaan kepada Bumi Kenyalang dalam segala aspek.

Timbalan Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Rohani Abdul Karim memberitahu, tiada arah tuju lain selain menguatkan GPS.

“Kita tidak perlu lagi memikirkan keperluan pihak lain dan hanya memberi fokus membangunkan rumah sendiri sahaja.

“Rakyat di negeri ini harus faham dan percayalah walau apa pun berlaku, kita akan berbalik kepada GPS, kita akan mengadu kepada GPS.

“Sebab tiada lain selain kita diperintah oleh parti tempatan sendiri. Mereka mengetahui keperluan rakyat serta mempunyai hala tuju yang jelas untuk negeri,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Cek Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Parlimen Batang Lupar di Pejabat Daerah Pusa, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar mengharapkan rakyat dapat mengekalkan perpaduan, keharmonian di samping menolak budaya berpecah-belah untuk memastikan matlamat Sarawak mencapai negeri maju menjelang 2030 di bawah GPS dapat dicapai.

Ditanya mengenai projek tebatan banjir dan kawalan hakisan pantai di Parlimen Batang Lupar yang diluluskan Kerajaan Persekutuan terdahulu memaklumkan, situasinya kini amat menyedihkan apabila sering diberikan jawapan kedudukan kewangan tidak mengizinkan oleh kerajaan baharu.

“Keseluruhan peruntukan yang telah diluluskan terdahulu lebih RM200 juta, namun kini apabila ditanya jawapan itu yang kita terima.

“Bagaimanapun saya sebagai Ahli Parlimen akan terus mendesak Kerajaan Pusat.

“Sebab sekiranya projek tebatan banjir dan kawalan hakisan pantai khususnya di Parlimen Batang Lupar tidak dapat dilaksanakan, akan memberi kesan lebih buruk terhadap kawasan yang terjejas antaranya Sebuyau, Maludam, Bajong, Semarang serta lain-lain lagi.

“Saya tidak mahu ada kawasan yang lenyap apabila projek berkenaan tidak diberikan keutamaan,” tegasnya.

Pada majlis yang sama, Rohani menyampaikan cek peruntukan khas Kerajaan Negeri melalui Unit Pemantauan Pelaksanaan Negeri yang keseluruhannya bernilai RM308,000 kepada 15 persatuan.