Sarawak bakal dimajukan seperti China – Abg Jo

KUCHING: Kerajaan negeri Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus berusaha membangunkan negeri ini supaya boleh muncul sebagai ‘little China’ di rantau ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, untuk tujuan itu, kerajaan akan mencari dana secukupnya bagi membina jalan raya untuk menghubungkan kawasan luar bandar ke bandar-bandar utama di negeri ini.

“Usaha inilah yang telah dilakukan China sehingga boleh muncul sebagai gergasi ekonomi dunia. Cara pertama China ialah membangunkan infrastrukturnya menghubungi kawasan-kawasan terpencil di seluruh negara terbabit,” katanya pada majlis menyaksikan pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Sarawak Energy Bhd (SEB) dan Lembaga Tabung Amanah Bakun di sini hari ini.

Dalam MoU itu, SEB akan menyediakan dana tahunan RM200,000 masing-masingnya kepada Tabung Pendidikan Skim Penempatan Semula Bakun dan Skim Penempatan Semula Batang Ai. Tabung Pendidikan itu bertujuan membantu keperluan pendidikan anak-anak penduduk yang tinggal di skim penempatan semula berkenaan.

SEB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Datu Sharbini Suhaili dan Naib Presiden Eksekutif SEB Perkhidmatan Korporat, Aisah Eden manakala Lembaga Amanah Bakun diwakili oleh Pengerusinya merangkap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Tan Sri James Masing dan ADUN Murum, Kennedy Chukpai Ugon dan disaksikan oleh Ketua Menteri.

Abang Johari berkata, dalam Bajet Negeri 2019, beliau memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk membina jalan raya baharu dan alternatif supaya kawasan luar bandar mudah dihubungi.

“Kita yakin Sarawak boleh muncul sebagai ‘little China’ apabila penduduk di pedalaman mempunyai akses ke bandar-bandar utama dan rakyat memiliki rangkaian hubungan dengan dunia luar.

“Selain membina jalan raya baharu, kerajaan negeri juga memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur teknologi maklumat. Ini yang sedang kita lakukan untuk membolehkan rakyat bergerak dan berhubung lebih cepat dengan dunia luar,” tegas beliau.

Menurut Ketua Menteri, SEB boleh melaksanakan pelaburan sosial yang baharu ini ekoran kejayaan kerajaan negeri mendapat hak pemilikan ke atas empangan Bakun daripada Kerajaan Pusat pada 2017.

Dana ini, katanya, akan digunakan sebagai galakan pendidikan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah mencapai kecemerlangan dalam pendidikan dari kawasan penempatan berkenaan dan sebagai bantuan kewangan kepada pelajar untuk meneruskan pengajian ke institusi pengajian tinggi dan program pembangunan pendidikan untuk masyarakat Kayan, Kenyah, Kajang dan Penan dari 15 buah rumah panjang di Skim Penempatan Semula Bakun.

Pengerusi SEB, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi dalam ucapan aluannya berkata, SEB mempunyai perasaan tanggungjawab sosial kepada rakyat Sarawak terutama penduduk yang terjejas dalam projek pembinaan empangan hidroelektrik.

“Kami mahu membina legasi berpanjangan dengan memberi kerjasama kepada penduduk yang terjejas dalam projek pembinaan empangan hidroelektrik terutama dalam bidang pendidikan anak-anak mudanya, pembangunan modal insan dan keusahawan di samping pengurusan dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya.

Pada majlis itu, Abdul Hamed turut menyampaikan cek masing-masingnya kepada Lembaga Amanah Tabung Bakun, Batang Ai dan Murum kepada Datuk Amar Tan Sri James Masing.