Subsidi RM300 kerajaan negeri untuk pelajar Sarawak pulang kampung

KUCHING: Kerajaan negeri akan memberi subsidi sebanyak RM300 kepada pelajar Sarawak yang belajar sepenuh masa di Institut Pendidikan Tinggi (IPT) di Semenanjung, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan untuk balik ke Sarawak pada musim perayaan.
Penasihat Sarawak Volunteers yang juga ADUN Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman dalam kenyataan media sebentar tadi berkata, pelajar terbabit adalah mereka yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan.
Setiap pelajar katanya, layak untuk memohon subsidi ini hanya dua kali sahaja setahun.
“Pemberian subsidi ini khusus untuk golongan pelajar sahaja. Pemohon perlu mengemukakan bukti pembelian tiket penerbangan, pas perjalanan dan surat pengesahan sebagai pelajar IPT,” katanya.
Pada sesi Town Hall Lan Berambeh Anak Sarawak 2018 bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, pelajar Sarawak dari IPT memohon subsidi bagi tiket kapal terbang untuk balik ke Sarawak semasa musim perayaan.
Ketua Menteri meluluskan inisiatif bagi meringankan beban pelajar Sarawak untuk membeli tiket penerbangan balik bermula dari musim perayaan Tahun Baru Cina 2019.
Inisiatif ini membuktikan Ketua Menteri amat prihatin dengan keperluan anak-anak Sarawak terutamanya pelajar yang menuntut di luar Sarawak dengan menunaikan janji beliau kepada mereka.