Kita bersyukur anak-anak Sarawak berjaya dibawa pulang – Abang Jo

KUCHING: Kerajaan negeri akan menanggung kesemua kos penerbangan membawa balik 44 anak-anak Sarawak yang ditahan di Kemboja.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, mereka dijangka tiba di sini pada esok atau selewat-lewatnya Isnin ini.
Justeru, beliau mengucapkan terima kasih kepada Wisma Putra dan kerajaan Kemboja kerana berjaya menyelesaikan isu penahanan ini mengikut protokol antarabangsa.
“Kita bersyukur kerana selepas mengikuti protokol antarabangsa, akhirnya kita berjaya membawa balik anak-anak Sarawak pulang ke tanah air,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Ibu Pejabat Parti PBB, Jalan Bako di sini, hari ini.