Kerjasama wakil rakyat dan masyarakat lancarkan projek pembangunan – Ahmad Johnie

MATU: Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi meluangkan masa menghadiri menghadiri majlis Sambutan Chap Goh Meh anjuran Komuniti Kaum Cina Daerah Matu, di sini, malam tadi.

Program yang berlangsung dalam suasana meriah dan penuh muhibbah itu dihadiri lebih 200 komuniti Tiong Hua pasar lama Matu.

Dalam majlis itu, beliau bersama-sama tetamu kehormat lain menggaul yee sang sebagai simbolik meraikan kedatangan tahun baharu dalam kalendar Cina.

Pada masa sama, beliau turut menyampaikan ang pau kepada kanak- kanak dan warga emas yang hadir.

Biarpun dalam kategori minoriti, kaum Cina Matu cukup terkenal dengan sikap peramah dan fasih berbahasa Melanau selain mempunyai hubungan yang cukup erat dengan masyarakat setempat.

Sementara itu, dalam ucapannya Ahmad Johnie memberi jaminan akan terus komited melaksanakan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat.

Sehubungan itu katanya, sebarang permasalahan yang membabitkan kepentingan rakyat boleh dirujuk kepadanya secara terus.

“Saya akan terus berkhidmat kepada masyarakat di Parlimen Igan ini dengan sebaik mungkin. Sehubungan itu, saya memerlukan kerjasama semua pihak agar setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan lancar,” ujarnya.