Lawatan kerja 25 Anggota Dewan Negara ke DUN

KUCHING: Seramai 25 Anggota Dewan Negara (Senator) mengadakan lawatan kerja Jawatankuasa Kerja Reformasi Dewan Negara (JKRDN) ke Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Lawatan diketuai itu Senator Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff merupakan siri lawatan kerja ke beberapa DUN selaku pemegang taruh utama bagi Parlimen Malaysia termasuk ke DUN Negeri Sarawak.
Lawatan itu bertujuan berbincang dan bertukar-tukar pandangan mengenai peranan Dewan di negeri masing-masing dan juga berkongsi cadangan penambahbaikan yang ada.

Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohd. Asfia Awang Nassar dan Timbalannya, Datuk Gerawat Gala yang mengalu-alukan kedatangan rombongan lawatan kerja JKRDN itu memberi taklimat mengenai DUN Negeri Sarawak.

Terdahulu, rombongan JKRDN itu melawat sekitar kompleks DUN Sarawak. Dewan Negara menubuhkan satu Jawatankuasa Kerja Reformasi Dewan Negara (JKRDN) yang terdiri daripada 14 anggota (Senator).

Penubuhannya bertujuan untuk memperkasakan peranan Dewan Negara dan ahli-ahlinya, memantapkan tadbir urus, menambahbaik struktur institusi Dewan Negara merangkumi komposisi, tempoh, elaun dan lain-lain aspek yang perlu serta pemposisian dan penjanamaan semula institusi Dewan Negara melalui pelbagai program meliputi advokasi dan kesedaran masyarakat.