Hubungan dua hala Brunei, Sarawak dipertingkat, beberapa bidang dikenal pasti

KUCHING: Hubungan akrab dua hala antara Brunei dan Sarawak terus dipertingkatkan dalam pelbagai bidang termasuk penyambungan rangkaian fiber optik dan pintu masuk antarabangsa.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, dalam hal ini, kerjasama antara SACOFA Sarawak dan syarikat telekomunikasi DST Brunei perlu dilihat selain kerjasama dalam pertanian dan ternakan.
Katanya, Sarawak memiliki kawasan tanah yang sangat luas berpotensi untuk mengusahakan pertanian cara moden.
“Kita (Sarawak) boleh membekalkan produk agro dan ayam ke Brunei untuk diproses dan dipasarkan di bawah industri kecil dan sederhana dan jenama halal,” katanya semasa berucap pada Majlis Resepsi Hari Kebangsaan Ke-35 Negara Brunei Darusalam di sebuah hotel di sini, malam ini.
Beliau diwakili Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang membaca teks ucapan.