Pemeriksaan kesihatan percuma anjuran GPS, PBB dan Rejang Medical Centre

PULAU BRUIT: Warga utara Pulau Bruit menjalani pemeriksaan kesihatan percuma di Dewan Masyarakat Kampung Betanak, hari ini.

Program anjuran Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan kerjasama Kelab Lions International, Rejang Medical Centre dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu dirasmikan Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab.

Penganjurannya merupakan sebahagian usaha meningkatkan kesedaran penduduk terhadap penjagaan kesihatan di samping mempertingkatkan kualiti kehidupan mereka.

Penduduk yang rata-rata petani dan nelayan ini berpeluang menjalani pemeriksaan telinga, mata dan tekak (ENT), kencing manis, darah, kandungan gula dalam badan dan lain-lain lagi.

Pada masa sama, sebanyak 300 cermin mata percuma disediakan kepada mereka yang layak.

Sehubungan itu Yusuf dalam ucapan perasmiannya berkata, program merupakan peluang terbaik bagi penduduk untuk mengetahui tahap kesihatan ma­sing-masing.

Katanya, ramai yang ber­anggapan mereka tidak perlu menjalani pemeriksaan kerana yakin tidak menghadapi sebarang masalah kesihatan.

“Sikap demikian menyebabkan ramai yang mengambil ringan peluang menjalani pemeriksaan ke­si­hatan walaupun diberikan secara percuma,” katanya.

Pada program sama, beliau turut mengumumkan peruntukan projek transformasi luar bandar (RTP) Parlimen RM200,000 untuk membina baharu jambatan Kampung Laut Betanak dan sumbangan RM5,000 kepada kelab Lion.