Peniaga, PIBG, jawatankuasa surau terima sumbangan

BINTANGOR: Menteri Muda Hal Ehwal Korporat, Abdullah Saidol menyampaikan sumbangan kepada peniaga, jawatankuasa surau dan Persatuan Ibu dan Guru (PIBG) di Bintangor, semalam.

Sehubungan itu, sebanyak 10 unit khemah disumbangkan kepada peniaga yang menjalankan perniagaan jualan but kereta di tebingan sungai Bintangor.

Pada masa sama, dua tukang gunting Ahmad Jaki dan Wong Ging Ming masing- masing menerima khemah dan peralatan mengunting.

Beliau turut menyampaikan RM3,000 kepada PIBG Sekolah Kebangsan (SK) Selidap dan RM2,000 masing-masing untuk Jawatankuasa Surau Darul Ikhsan dan Jawatankuasa Kegiatan Islam warga Pendidikan Meradong.

Dalam pada itu, JKKK Rumah Nicholas Abu Seman juga menerima peralatan muzik.

“Saya menasihatkan semua penerima memanfaatkan sumbangan ini dengan sebaik mungkin,” katanya.

Sejurus selesai, beliau sempat meluangkan masa berjumpa dan berkongsi pengalaman bersama remaja yang menyertai kem motivasi anjuran Kelab Remaja Hikmah Meradong, di Surau Darul Ikhsan.

Setiap peserta berpeluang memenangi hadiah wang tunai melalui pertandingan Menulis Puisi sempena program berkenaan.

Johan berpeluang memenangi RM200, naib juara RM150, tempat ketiga RM120 dan RM100 bagi pemenang tempat keempat hingga 10.

Kesemua hadiah ditaja oleh Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.42 Semop.