Projek bina baharu titian Rumah Ujang Umpu, Sungai Mawan siap

DARO: Kerajaan Sarawak akan terus komited untuk meningkatkan prasarana sekolah daif sebagai usaha meningkatkan akses pendidikan yang berkualiti kepada generasi muda terutama di pedalaman dan luar bandar negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Safiee Ahmad berkata, kerajaan prihatin terhadap masalah berkenaan kerana sedar pendidikan mampu mengatasi kemiskinan dan menjamin masa depan.

Kerajaan katanya, juga amat serius merealisasikan hasrat itu kerana mahu melahirkan lebih ramai generasi muda berilmu, kreatif, inovatif dan memiliki minda kelas pertama.

“Keseimbangan prasarana sekolah luar bandar dan kawasan bandar akan terus diberikan perhatian yang sewajarnya kerana kita tidak mahu generasi muda di kawasan pedalaman ketinggalan.

“Sehubungan itu bagi menjayakan impian ini, sudah pasti kerjasama semua pihak amat diperlukan,” katanya ketika menghadiri Program Hari Jalinan Mesra Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Singat, semalam.

Beliau mengingatkan ibu bapa supaya tidak membelakangkan PIBG, sebaliknya menggunakan persatuan sebagai saluran untuk membangunkan anak-anak dalam bidang akademik dam kokurikulum.

Katanya, PIBG merupakan platform terbaik bagi ibu bapa dan guru untuk bekerjasama dalam merancang aktiviti dan menyelesaikan sebarang masalah.

“Kita harus sedar tanggungjawab melonjakkan prestasi murid dan sekolah bukan hanya tergalas pada bahu guru semata-mata, sebaliknya ibu bapa juga memainkan peranan amat penting.

“Saya juga ingin mengingatkan setiap pelajar bahawa, kunci utama untuk berjaya adalah keyakinan individu itu sendiri dan tidak pernah berhenti berusaha mencapai matlamat tersebut. Jadikan keadaan yang sukar sebagai satu cabaran dan pembakar semangat untuk lebih berjaya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu, usaha menyalurkan bekalan elektrik kepada penduduk di kawasan rumah panjang Singat tersenarai dalam perancangan kerajaan untuk dilaksanakan.

Selain itu katanya, perancangan untuk menyediakan laluan penghubung rumah panjang Singat ke jalan utama juga akan diteruskan.

“Sehubungan itu, peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2019 sebanyak RM300,000 disediakan bagi projek naiktaraf jalan kerikil dari Rumah Francis Kiyai ke kawasan ladang,” katanya sambil mengumumkan sumbangan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM5,000 kepada PIBG SK Singat.

Sejurus selesai program, beliau meninjau projek bina baru titian di Rumah Ujang Umpu, Sungai Mawan yang dilaksanakan di bawah RTP 2018.

“Projek yang baharu siap ini bernilai RM50,000. Serentak itu, peruntukan RTP 2019 sebanyak RM100,000 juga disediakan untuk pembinaan jalan krikil bagi menghubungkan Rumah Unjang Umpu ke jalan utama melalui jalan ladang bagi membolehkan mereka ke bandar terdekat melalui jalan darat,” katanya.

Program diserikan dengan pelbagai acara sampingan termasuk pencegahan kebakaran dan demo memadam kebakaran oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat dan taklimat keselamatan oleh pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM).