Pembinaan baharu sekolah daif Parlimen Igan perlu dipercepat – Ahmad Johnie

KUCHING: Sebanyak 18 sekolah di kawasan Parlimen P.207 Igan yang dikategorikan sebagai sekolah daif perlu disenaraikan dalam pelaksanaan pembinaan sekolah baharu apabila ia dimulakan di seluruh Sarawak nanti.

Ahli Parlimen P.207 Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, sekolah tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang Tian, SK Ulu Daro, SK Kuala Matu, SK Kampung Tebaang, SK Kampung Pangtray, SK Kampung Nangar, SK Orang Kaya Segunim, SK Orang Kaya Selair, SK Kampung Pergau, SK Kampung Sawai, SK Sekaan Kecil, SK Bruan Mapal, SK Sungai Pasin, SK Batang Lassa, SK Kampung Sok, SK Nangga Semah, SK Sebena dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matu.

Katanya, amat sedih sekali sekolah daif yang kritikal ini berusia lebih dari 30 tahun dan struktur pembinaannya diperbuat daripada kayu, sudah pasti menyediakan suasana pembelajaran tidak kondusif.

“Justeru, saya memohon kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar kesemua sekolah-sekolah daif di kawasan saya dimasukkan di dalam senarai pelaksanaan pembinaan baharu. Pembinaan baharu ini nanti harus dilengkapi dengan kuarters guru dan kakitangan di samping kemudahan-kemudahan lain,” katanya semasa turut serta dalam perbahasan Ucapan Titah DiRaja Parlimen Ke-14 Penggal Kedua di sidang Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Ahmad Johnie, guru-guru dan kakitangan sekolah terpaksa menyewa di kampung dan pekan yang jauh dari sekolah di situ tidak mempunyai kuarters.
“Ini amat menyukarkan warga sekolah melaksanakan aktiviti dan program ko-kurikulum dengan lebih bertanggungjawab dan efisien,” katanya.

Menyentuh mengenai pendidikan, beliau sekali lagi mengutarakan pembinaan baharu SMK Matu dan ingin tahu status terkini pembinaan sekolah itu yang telah diluluskan peruntukannya.

“Kalau mengikut jawapan yang saya terima pada persidangan Dewan Rakyat lalu, sekolah ini akan di bina pada Rancangan Boleh Pinda (Rolling Plan) di dalam Rancangan Malaysia Kesebelah (RMK-11). 
“Oleh itu, saya memohon kepada kementerian agar pembinaan sekolah ini dapat disegerakan kerana sudah uzur,” katanya.

Beliau turut bertanya kepada Kementerian Kerja Raya tentang status terkini pembinaan Jambatan Batang Igan yang telah diluluskan melibatkan kos RM305 juta. 
“Walaupun sebelum ini jawapan yang saya terima ialah kerana kerajaan menghadapi kekurangan kewangan maka projek itu ditangguhkan.

“Saya ingin memohon kepada Menteri Kerja Raya yang berasal daripada Sarawak supaya jambatan ini diberi keutamaan untuk dilaksanakan,” tambahnya.
Menurutnya, ini kerana Jambatan Batang Igan bakal memberi impak sosio-ekonomi kepada penduduk di kawasan Parlimen Igan dan Mukah.

Mengenai Pindan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan Ahmad Johnie berkata, ia adalah permulaan ke arah memastikan hak-hak kepentingan Sarawak dan Sabah dilindungi dan dilaksanakan sebaik mungkin.

Malah katanya, pindaan ini merupakan saat yang ditunggu-tunggu oeh rakyat Sarawak walaupun ada suara sinis khususnya di Sarawak yang tidak responsif dengan pindaan ini.

Apapun persepsi mereka ini adalah manifestasi keprihatinan rakyat Sarawak agar pindaan ini membawa kebaikan dan keuntungan kepada rakyat di Sarawak dan Sabah, katanya.

“Kita tidak mahu seperti peribahasa mengatakan “Menang Sorak, Kampung Tergadai”,” katanya.