Sarawak hab pengeluaran makanan negara, Jelapang Padi Batang Lupar perlu diberi perhatian

KUCHING: Ahli Parlimen P.201 Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim menaruh harapan agar Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi meneruskan projek Jelapang Padi Batang Lupar.
Ketika membahaskan Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, malam tadi, Rohani berkata projek tersebut harus diteruskan dan mendapat perhatian serta fokus oleh ketiga-tiga kementerian tersebut.

Menurutnya, Jelapang Padi Batang Lupar ini bertujuan mempastikan bekalan padi dan beras negara tidak akan terjejas atau terputus sekiranya berlaku krisis beras yang pernah dilalui. Jelapang Padi ini juga untuk mempastikan Sekruiti Makanan negara terjamin.
“Jangan hanya fokus kepada Bank Makanan sebaliknya fokus kepada pengeluaran makanan ini khususnya pengeluaran padi dan beras negara,” katanya.

Katanya, Sarawak khasnya kawasan Batang Lupar merupakan sebuah kawasan yang sangat sesuai untuk dijadikan sebagai hab pengeluaran makan untuk Malaysia.

“Sesungguhnya kawasan saya mempunyai potensi untuk dibangunkan dengan jelapang padi, pengeluaran makanan yang diproses, perikanan dan tanaman buah-buahan seperti nanas, pisang, kelapa dan durian. Pada bulan November tahun lalu, beberapa kawasan di Batang Lupar iaitu di Rumah Brodie (L4PL2) dan Kampung Bundong (R5PL1) telahpun melalui proses penanaman benih padi variati MR269 sebagai permulaan Projek Jelapang Padi Batang Lupar,” katanya.

Rohani berkata, kerja-kerja penanaman benih padi di kawasan berkenaan merangkumi tanah seluas 24.22 hektar dan bakal dituai dalam masa terdekat. Lima lagi kawasan seluas 42.1 hektar dikatakan masih dalam peringkat proses menanam, meliputi Kampung Bundong dan Rumah Rokiah (R5PL2), Rumah Brodie (R4PL2, R4PL3), Rumah Jiram (L2PL3), Rumah Entrie dan Rumah Agong (R1PL1) serta Kampung Melayu Tanjung Bijat (R1PL2). Penanaman padi variati moden musim pertama ini juga melibatkan 295 petani menggunakan 204 lot sawah seluas 66.32 hektar,” katanya.