Ahmad Johnie suarakan projek Balai Bomba dan Penyelamat Matu di Parlimen, bakal siap Okt ini

KUCHING: Penantian penduduk di kawasan Parlimen P.207 Igan, khususnya sekitar kawasan Matu yang sekian lama menunggu pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Matu akhirnya bakal menjadi kenyataan apabila projek itu dijangka siap pada Oktober 2019.

Ahli Parlimen P.207 Igan, Ahmad Johnie Zawawi yang mengutarakan soalan berhubung pembinaan sebuah Balai Bomba dan Penyelamat di daerah Matu kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin pada sesi pertanyaan lisan Dewan Rakyat, sidang Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun, jawapan itu diberikan secara bertulis kepada Ahli Parlimen berkenaan.

Menurut Zuraida, pembinaan projek itu telah diluluskan di bawah Rancangan Boleh Pinda Pertama (Rolling Plan 1), Rancangan Malaysia Ke-11 tahun 2016.

Bagaimanapun, lokasi projek tidak didedahkan oleh menteri berkenaan.

Dalam hal ini, kerajaan berkenaan akan meneruskan projek pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Matu seperti mana telah dirancangkan.

“Kerja-kerja penambakan tanah di tapak projek telah selesai dilaksanakan pada akhir tahun 2018. Projek ini akan dimulakan pada April 2019 dan dijangka siap Oktober 2019,” katanya.

Pada masa ini, kawasan Matu mendapat perlindungan kebombaan dari Balai Bomba dan Penyelamat Mukah dengan jarak perjalanan sejauh 60 kilometer (KM).

Dalam soalannya, Ahmad Johnie minta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan adakah pihak kementerian mempunyai perancangan untuk membina sebuah Balai Bomba dan Penyelamat di daerah Matu di dalam kawasan Parlimen P.207 Igan.