Siap siaga hadapi musim kemarau, residen perlu bertindak pantas

KUCHING: Semua residen diarah memberi taklimat kesiapsiagaan untuk menghadapi musim kemarau yang sedang melanda negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, berikutan musim kemarau, beberapa tempat di negeri ini akan menghadapi masalah kekurangan air di sebabkan kurangnya litupan awam dan taburan hujan yang rendah.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, berkata masalah ini mesti ditangani segera oleh semua pihak kerana ia adalah masalah bersama membabitkan keperluan harian penduduk iaitu air.

“Kita telah diberitahu oleh Jabatan Meteorologi bahawa beberapa tempat di negeri ini akan menghadapi masalah kekurangan air berikutan musim kemarau.

“Kita telah memberitahu semua residen agar memberi taklimat kesiapsiagaan mereka kerana kita menerima amaran awal daripada Jabatan Meteorologi.

“Kita juga memberitahu kepada semua residen berhubung masa maklum balas adalah selama enam jam selepas menerima aduan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusi Mesyuarat Post-Mortem Monsun Timur Laut (Banjir) dan persediaan Musim Kemarau di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, di sini.

Turut hadir Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.