SUARA GPS DI DEWAN RAKYAT – Lantang dan Senada

LANTANG dan senada dalam memperjuangkan hak Sarawak di Dewan Rakyat. Itu pendekatan yang diambil oleh Ahli-Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang berpegang kepada kata kunci slogan 
perjuangan “Sarawak Diutamakan” atau “Sarawak First”.

Dalam Persidangan Dewan Rakyat Yang Ke 14 Penggal Kedua Mesyuarat Pertama (11 Mac hingga 11 April2019) jelas setiap Ahli Parlimen GPS memberikan komitmen padu dalam setiap hujah dan persoalan yang diutarakan, baik ketika sesi soal jawab, mahupun ketika mengambil bahagian dalam perbahasan.

Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof, berpuas hati dengan penyertaan dan kesungguhan setiap Ahli Parlimen GPS dalam sesi sidang Dewan Rakyat serta hujah-hujah yang dibawa melibatkan isu dan keperluan rakyat bukan sahaja di kawasan masing-masing, malah di Sarawak secara keseluruhan dan negara pada amnya.

Dalam isu melibatkan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan, Fadillah berkata seperti yang ditegaska banyak kali oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, empat perkara tidak terbuka untuk rundingan iaitu imigresen, perlindungan sempadan negeri, kedaulatan atas tanah dan hasil-hasilnya serta hak menguatkuasakan undang-undang negeri mengikut perlembagaan.

“Di peringkat Sarawak, kita merasakan ada hak-hak yang sepatutnya dilaksanakan dahulu tidak dilaksanakan, malah ada hak yang telah diambil tanpa memikirkan semangat atau roh MA63 dan pembentukan Malaysia itu sendiri,” katanya.

Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi, lantang menyuarakan betapa pindaan berkenaan perlu dipersetujui dan mendapat restu kerajaan negeri terlebih dahulu dan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak selain perlu diedar kepada ahli-ahli Parlimen Sarawak dan Sabah sebelum dibentang.

“Saya mungkin tidak akan menyokong rang undang-undang ini sekiranya ia dibentangkan tanpa dipersetujui terlebih dahulu oleh kerajaan negeri Sarawak dan Sarawak,” kata beliau yang tidak mahu terperangkap dan dipersalahkan oleh generasi akan datang jika pindaan itu tidak memuaskan hati rakyat Sarawak.
Bagi Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri, pula dalam menyokong hasrat Kerajaan Persekutuan untuk meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan, pindaan itu tidak seharusnya menjejaskan hak Sarawak dan Sabah sedia ada.

“Misalnya kita rujuk kembali Perjanjian 63 dan Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 112D, mengenai pemberian khas kepada Sarawak dan Sabah. Tiada kajian semula dibuat sejak 1969 bagi Sarawak walaupun Sarawak pengeluar minyak dan gas sebanyak 40 peratus dari keseluruhan hasil minyak dan gas negara,” katanya.

Bagi Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, MA63 adalah perjuangan penting untuk semua wakil rakyat dari Sarawak, dengankerajaan Sarawak mahu supaya hak-hak autonomi yang merangkumi kewangan, eksplorasi minyak, perlombongan dan gas, perundangan, tanah dan hasil tanah, kerja raya Persektuan dan negeri, maritim dan perikanan, sumber manusia, serta perkhidmatan awam negeri dikembalikan semula di bawah kekuasaan negeri Sarawak.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, pula berkata hasrat dan iltizam kerajaan untuk meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan adala dialu-alukan dan dengan pindaan ini bermakna kedudukan atau status Sarawak dan Sabah akan dikembalikan menjadi “Rakan Yang Setara’ yang membentuk Malaysia.

“Cadangan ini adalah penting dan fundamental ke arah mengembalikan hak-hak rakyat Sarawak dan Sabah seperti yang termaktub didalam MA63 dan perkara lain di dalam Perlembagan Persekutuan. Cadangan pindaan ini juga adalah petanda keikhlasan kerajaan hari ini untuk duduk semeja berbincang perkara lain khususnya hak-hak Sarawak dan Sabah yang terhakis,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang di Dewan Rakyat menegaskan bahawa Pindaan Perkara 1 (2) tanpa disusuli penurunan kuasa daripada Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri Sarawak dan pemberian royalti hasil minyak yang lebih tinggi tidak akan membawa apa-apa makna selain bertukar status daripada sebuab negeri kepada Wilayah.

Tegasnya lagi, di saat ekonomi dunia di dalam zon perperangan perdagangan kuasa-kuasa besar, ekonomi rakyat perlu dipelihara. Bantuan dan subsidi kepada golongan yang memerlukan seharusnya ditambahbaik dan bukannya dikurangkan supaya mereka mendepani cabaran ketidaktentuan ekonomi dengan lebih berkesan.

Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab, meminta supaya pencerahan diberikan mengenai apakah faedah dan manfaat pindaan Perkara 1(2)dan sekiranya ada terdapat kerugian turutan atau consequential loss kepada mana-mana undang-undang berkaitan negeri Sarawak dalam membuat pindaan ke atas perkara berkenaan.

Ahli Parlimen Kanowit, Datuk Aaron Ago Dagang, mahu tahu apakah hasil sebenar minyak dan gas dari Sarawak sejak PDA74 mula beroperasi dan berapa yang diberikan kepada Sarawak.

“Kita difahamkan Petronas mempunyai lebih 60 oil field di Sarawak dan dapat mengeluarkan 850,000 tong minyak sehari. Kalau dikira dengan kos satu tong USD68 bermakna Petronas dapat RM25 juta sehari atau RM90 bilion setahun dengan lima peratus royalti sepatutnya diberi kepada Sarawak dalam RM44.5 bilion,” katanya sambil berharap Kerajaan Pusat akan memberikan 20 peratus royalti minyak dan gas berasaskan pengeluaran kepada Sarawak.

Pada 2014 Dewan Undangan Negeri Sarawak sebulat suara telah menyokong usul memohon 20 peratus royalti minyak. Untuk makluman 69 peratus minyak dan gas negara disumbangkan Sarawak dan Sabah, dengan pada masa sama 40 peratus bajet Kerajaan Pusat setiap tahun juga adalah daripada hasil minyak dan gas.

Ahli-Ahli Parlimen GPS juga turut menyuarakan mengenai isu di kawasan masing-masing serta projek-projek yang perlu dilaksanakan demi memenuhi keperluan rakyat termasuk melibatkan infra jalan dan jambatan, isu perumahan, kemudahan prasarana lain seperti sekolah dan hospital, serta kemudahan asas seperti air dan elektrik, kebimbangan mengenai kejatuhan harta komoditi, selain mengutuk serangan ke atas dua masjid di Christchurch New Zealand.

Bagi Datuk Wilson Ugak Kumbong, Ahli Parlimen Hulu Rajang, beliau telah meminta supaya satu pasukan khas ditempatkan di kawasan Belaga bagi memantau harga barangan di kawasan luar bandar untuk membolehkan rakyat luar bandar menikmati harga yang sama dengan mereka yang tinggal di bandar.

Selain itu, beliau menyuarakan rasa sedih dan kecewa kerana Kerajaan Pakatan Harapan tidak membariskan sebarang wakil kaum Dayak bagi jawatan Ketua Setiausaha (KSU), Pengarah, dalam perkhidmatan tentera mahupun Ketua Polis di Sarawak.

Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong, bertanyakan mengenai projek-projek yang sudah diluluskan Kerajaan Persekutuan sebelum ini untuk Lawas, termasuk lapangan terbang baharu dan jajaran Pan Borneo yang telah hampir dimuktamadkan, namun apabila Kerajaan Pakatan Harapan mengambilalih, ia tiba-tiba hilang dari radar.

Begitu juga projek Hospital Lawas yang fasa pertama sudah siap, tiba-tiba tertangguh kerana perlu melalui proses kajian semula. Justeru beliau mahu ia disegerakan demi memenuhi keperluan penduduk di Lawas.

Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau, meminta supaya peruntukan lebih besar diberikan untuk membangunkan kawasan Orang Ulu di luar bandar dan pedalaman Sarawak, yang masih lagi jauh ketinggalan berbanding penduduk di bandar khususnya di Semenanjung. Ini kerana atas Semangat MA63 penduduk asal di Sarawak seperti Melayu,Melanau, Iban dan Orang Ulu serta yang lain berhak menikmati pembangunan seperti penduduk di Semenanjung.

“GPS berpegang kepada ‘Sarawak First’. Jadi saya merayu Kerajaan Pusat supaya sentiasa ingat bahawa Sarawak dan Sabah sebagai ‘equal partners’ dalam pembentukan Malaysia, dibangunkan sejajar dengan apa yang dititah oleh Seri Paduka Baginda Ynag di-Pertuan Agong,” katanya.

Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing,ketika menyentuh mengenai kejatuhan harga komoditi getah dan sawit yang semakin membimbangkan dan menjejas ekonomi negara,ingin tahu apa tindakan kementerian bagi menangani masalah berkenaan. Beliau juga menyentuh mengenai isu penyelenggaraan jalan di Sarawak yang mana banyak jalan dibiar berlubang dan rosak, tidak diselenggara dengan sewajarnya.

Pada persidangan kali ini juga Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, telah menggunakan Dewan Yang Mulia untuk menceritakan kisah sebenar di sebalik isu pembebasan dan usaha membawa pulang 47 tahanan Malaysia di Cambodia yang telah menjadi kontroversi politik.

Beliau sendiri bersama Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah telah diminta oleh Ketua Menteri Sarawak untuk pergi ke Cambodia, yang mana ia adalah usaha bersama Wisma Putra dan kerajaan Sarawak serta peranan besar yang dimainkan oleh Ketua Bukan Kerajaan Antarabangsa, (NGO) Datuk Mustapha Ahmad Marican, dan Menteri Kanan, Menteri Misi Khas Datuk Othsman Hassan, kawan rapat Hun Sen, Perdana Menteri Cambodia dalam membantu.

“Yang Berhormat Julau (Larry Sng) tidak berjumpa sesiapa pun sebenarnya. Memang tidak ada jumpa sesiapa pun selain berjumpa tahanan di Penjara Banteay Meanchey itu sahaja dan pegawai penjara. Selepas itu pegawai penjara memberi penjelasan kepada saya, Jeneral Aung Su Pan bagi tahu saya ‘We are only the keeper of this people, we don’t have any authority what so ever’. Jadi yang berbincang sebenar berjumpa Menteri ialah rombongan kami dari Sarawak,” jelas beliau.