CENTEXS dinaik taraf pusat latihan digital

KUCHING: Pusat Kecemerlangan Teknikal (CENTEXS) di sini akan dinaik taraf menjadi pusat latihan digital dikenali Akademi Digital Centexs sejajar dengan hasrat kerajaan merealisasikan ekonomi digital negeri ini pada 2022, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan turut merancang menggerakkan digital ekonomi negeri daripada 4G kepada 5G supaya dapat membuat kajian yang meliputi bidang lebih luas.

“Apabila kita memiliki taraf 5G kelak, kita mungkin boleh menggunakan data lebih besar itu untuk membuat kajian dalam pembiakan dan pemeliharaan ikan terubok seperti apa yang dibuat terhadap ikan salmon di beberapa buah negara,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kompleks Bersepadu Teknikal, Digital dan Warisan CENTEXS di sini hari ini.

Ketua Menteri menegaskan proses menaik taraf itu termasuk menawarkan kursus latihan sehingga ke peringkat diploma dan ijazah akan dilaksanakan tahun depan dan makmal-makmal latihan yang dibangunkan di pusat berkenaan mampu menawarkannya.

Kejayaan membangunkan kompleks latihan bersepadu itu adalah atas usaha sama dan kerjasama kerajaan negeri, Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Yayasan Sarawak, Huawei Malaysia dan Pengarah Lembaga CENTEXS.

Berucap semasa melancarkannya, Ketua Menteri berkata, usaha membangunkan kompleks latihan bersepadu itu akan mampu melengkapkan golongan belia Sarawak dengan ilmu dan pengalaman teknologi komputer dan maklumat.

“Di samping itu, ia akan meningkatkan usaha mentransformasikan ekonomi digital dan meletakkan Sarawak dalam peta wilayah hab pembangunan bakat dan inovasi ICT,” katanya.

Pada 2017, katanya, Huawei Malaysia dan kerajaan Sarawak telah menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) untuk melantik sebuah syarikat ICT global terkemuka sebagai rakan strategik dalam membangunkan prasarana ICT negeri untuk mentransformasikan ekonomi digital.

Bersama dengan CENTEX, beliau berkata, Huawei Malaysia komited untuk melahir dan melatih bakat kemahiran melalui latihan kemahiran dan program pensijilan dan menubuhkan pusat latihan dan hab digital di sini.

Seramai 56 pelajar cemerlang lepasan sekolah telah dilatih sejak Julai, 2018 hingga Februari, 2019. Dalam pada itu, seramai 12 jurulatih telah dihantar ke Shenzhen, China, untuk menjalani latihan digital.

CENTEXS kini menawarkan program latihan teknologi yang merangkumi modul tanpa wayar, modul gelombang mikro, modul FTTX OSP, modul pusat pangkalan, modul tenaga telekom dan pembangunan latihan aplikasi mobil.

Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Michael Yuan dalam ucapan aluannya berkata, sebagai syarikat pembekal teknologi terkemuka, Huawei akan fokus untuk membolehkan semua lapisan boleh menggunakan teknologi digital dan berhubung terus dengan dunia.

“Kita akan menyokong CENTEXS untuk muncul sebagai peneraju dalam pembangunan bakat digital dan terus berusaha merapatkan jurang digital dengan memberi komitmen sepenuhnya memindah dan berkongsi pengalaman dalam bidang ICT dan membangunkan bakat ICT di Malaysia,” katanya.